Thursday 29 December 2011

Contest Kreatif Menulis Bersama HOB (Seteguh Kasih Ayah)

contest dari blog Heart of Beauty




Karya , Nur Atirah Ameer       
   Fadilah merenung jauh keluar tingkap  sambil mengenangkan  sesuatu. Hari ini merupakan tarikh  hari jadi arwah ayahnya. Dia merenung seketika gambar ayahnya berbingkaikan kayu  yang diletakkan di penjuru meja dan memeluk sesuatu dengan erat. Tidak lama kemudian otaknya menerawang jauh menerjah kembali kehidupannya dahulu sewaktu arwah ayah masih hidup.
      Fadilah bangun sambil mengesat matanya yang kuyu. Pagi itu dia perlu menyiapkan bekalan untuk dibawa semasa merentas desa dan bekalan ayahnya menoreh getah nanti. Tugas itu sudah digalas Fadilah semenjak dia berusia 12 tahun menggantikan arwah ibunya yang meninggal akibat penyakit barah payu dara. Kelihatan ayahnya, Pak Samad sedang berzikir di hamparan sejadah tua yang lusuh.
     “Rasanya ubi kayu di belakang rumah yang ayah cabut  semalam masih ada dekat dapur. Baik aku rebus untuk bekalan nanti” bisik Fadilah. Fadilah pantas menunaikan solat subuh dan kemudiannya dia ke dapur untuk merebus ubi kayu.
     “Fadilah, pergilah  mandi dahulu sementara ubi kayu tu di rebus” ujar Pak Samad sambil mengusap lembut rambut anak dara tunggalnya itu. Tersentak dia  apabila Pak Samad muncul dari arah belakang ketika dia selesai meletakkan periuk yang sedikit kemik itu di atas dapur itu. Periuk itu jugalah yang selalu digunakan semasa arwah ibunya masih hidup.  Kadang-kadang ibu merebus pisang, bila ayahnya membawa pulang setandan pisang dari kebun. Bolehlah menjadi bekal ayah ke kebun atau digoreng  semasa mereka minum petang.
     “Oh ya, kamu hari ni ada merentas desa kan. Jangan lupa bawa air nanti”  Pak Samad mengingatkan.
     Fadilah menggangguk kepalanya perlahan dan kemudian segera berlalu untuk mandi. Selesai sahaja menyiapkan diri dan memakai baju sukan sekolah, Fadilah segera pergi ke dapur untuk bersarapan.
     “Ayah hendak pergi sekarang?” tanya Fadilah apabila melihat ayahnya sedang memakai kasut but yang sudah lusuh.
     “Ya, lagipun ayah sudah bersarapan. Fadilah duit belanja yang ayah berikan hari tu, masih ada?”
     “Ada. Ayah jangan risau. Lagipun Fadilah kan bawa bekal” ujar Fadilah .
     “Baiklah, ayah jalan dulu. Jangan lupa kunci pintu rumah”   pesan Pak Samad. Fadilah segera mencium tangan ayah . Tapak tangan ayah  terasa kasar. Urat-urat timbul  mengambarkan Pak Samad bekerja keras.
     Fadilah melihat ayahnya pergi dengan basikal tua. Tiba-tiba bergenang air mata Fadilah seketika kelibat ayahnya sudah hilang dari pandangan mata.
     “Kasihan ayah, terpaksa bangun seawal pagi untuk pergi bekerja. Namun aku tidak pernah mendengar ayah mengeluh. Aku mesti melakukan yang terbaik agar suatu hari nanti keluargaku senang seperti keluarga orang lain” bisik hati kecil Fadilah memperketatkan lagi azamnya.  Air mata yang mengalir segera dikesat.
     Selesai saja bersarapan dan menyiapkan bekalan. Fadilah bersiap pula untuk pergi ke sekolah. Dia  berjalan kaki. Dia memakai kasut sambil memerhati sekeliling, takut-takut rakan karibnya, Rohayu sudah sampai. Rohayu merupakan sahabat rapat Fadilah sejak dari kecil kerana dibesarkan di kampung yang sama. Bapa Rohayu, Pak Sahak adalah rakan sekerja Pak Samad.
Tiba-tiba orang yang dinanti-nanti tiba.
     “Assalamualaikum, Fadilah” ucap Rohayu sambil duduk di tangga rumah Fadilah.
     “Waalaikumsalam, Ayu. Wah cantiknya awak hari ini. Mesti Hairi tergoda” ujar Fadilah sambil mengusik Rohayu dengan Hairi, Ketua Kelas Tingkatan 4 Alfa yang memang meminati Rohayu.
     Tiba-tiba satu cubitan hinggap di bahu kiri Fadilah. Dengan spontan Fadilah membalas kembali cubitan rakannya itu. Akhirnya mereka ketawa bersama-sama sambil berjalan ke sekolah SMK Bukit Padas. Fadilah dan Rohayu pergi ke kelas mereka kelas 4 Beta, sambil menantikan perhimpunan dimulakan.Rohayu yang sememangnya bertugas pada hari itu segera memulakan tugas menyapu kelas.
Fadilah mengambil keputusan untuk membaca novel yang telah dipinjam dari perpustakaan sekolah kelmarin. Beberapa minit kemudian, loceng menandakan perhimpunan bermula pun berdering. Para pelajar beransur-ansur memenuhi lorong kelas mereka di hadapan dataran. Hafizi selaku Ketua Pengawas membacakan doa dan ikrar. Kini tiba masa Puan Latifah Mahmood, Pengetua SMK Bukit Padas menyampaikan ucapan.
     “Hari ini sekolah akan mengadakan acara merentas desa dari sekolah sampai ke kawasan Jalan Melati. Saya harap pelajar dapat memberikan kerjasama semasa acara ini berlangsung. Jangan sampai ada yang merayau ke kawasan lain. Jangan  ambil risiko” Puan Latifah mengingatkan semua pelajarnya sambil mengunjuk cermin mata bulatnya dengan jari telunjuk itu ke atas.  
     “Wah seronoknya nanti dapat menghirup udara nyaman”ujar Rohayu kegirangan sambil melihat Fadilah yang fokus terhadap apa yang dikatakan Pengetua.
     Satu jam selepas itu, semua pelajar diminta kembali ke dataran untuk bersiap sedia kerana acara akan dimulakan. Selepas sahaja Cikgu Badrul membunyikan siren permulaan , semua pelajar terkocoh-kocoh berjalan, dapat dilihat sekumpulan kawan memegang sapu tangan agar tidak terpisah dan ada yang  berlari anak sambil melihat sekeliling. Tidak ketinggalan pula Fadilah dan Rohayu sedang sibuk memerhatikan keindahan ciptaanNya pagi-pagi begini.
     “Seronoknya kalau setiap hari begini”ujar Rohayu sambil mengeyitkan matanya ke arah Fadilah.
     “Kalaulah setiap hari begini, boleh turun beberapa kilolah jawabnya” kata-kata Fadilah membuatkan Rohayu ketawa terbahak-bahak. Dua sekawan itu berjoging sambil berbual hinggalah selamat sampai ke                                                                                                                                                                                                                       stesen yang terakhir. Adakalanya mereka singgah di tepi jalan untuk memakan bekalan yang dibawa dari rumah. Mereka bersama-sama pergi ke kelas untuk mengambil beg sekolah yang ditinggalkan  tadi. Tidak lama kemudian, seorang pelajar tingkatan 1 datang ke kelas Fadilah.
     “Kak Fadilah, maaf mengganggu. Cikgu Safiya panggil kakak ke bilik guru.  ujar pelajar yang bernama Qayyum itu. Berderau darah Fadilah apabila nama guru disiplin yang garang tahap harimau itu memanggilnya. Cikgu Safiya juga adalah guru Bahasa Malaysia di sekolahnya.
     “Tak mengapa.Terima kasih ya dik”  ucap Fadilah sambil melihat Rohayu berkerut kening. Pelajar junior itu meninggalkan Fadilah yang terpinga-pinga.
     “Aku ada buat kes atau kesalahan kah?” tanya Fadilah kepada Rohayu mengagak. Fadilah meminta simpati pada Rohayu sambil melihatkan muka sepuluh sen.
     “Baik awak pergi cepat. Biar saya temankan”  Rohayu yang seakan-akan mengerti dengan pandangan sahabatnya itu segera menarik tangan Fadilah dan meluru ke bilik guru yang terletak di aras dua  sekolah itu. Fadilah mengetuk perlahan pintu bilik guru.
     “Masuk !” sahut Cikgu Safiya dari arah dalam. Fadilah mengajak sekali Rohayu menemaninya masuk ke dalam. Cikgu Safiya meminta mereka duduk.
     “Cikgu,   cikgu panggil saya ?” tanya Fadilah memulakan perbualan.
    “Ya Fadilah, cikgu panggil kamu kemari kerana kamu layak mengikuti pertandingan pidato peringkat daerah” Cikgu Safiya segera memaklumkan dan mengeluarkan borang pertandingan. Fadilah dan Rohayu terkedu seketika. Mereka berpandangan sesama sendiri. Seperti tidak percaya.
     “Benarkah cikgu” tanya Fadilah seakan-akan tidak percaya. Dia merasa begitu gembira dan teruja. Cikgu Safiya mengangguk-anggukkan kepalanya.
     “Cikgu nak beri kamu borang ini. Berikan kepada penjaga kamu untuk diminta keizinan jika boleh membawa kamu ke Ipoh untuk mengikuti pertandingan ini, sekiranya setuju tandatangan di bawah ini” ujar Cikgu Safiya lagi. Seyuman Fadilah yang tadi seindah sinar suria tiba-tiba berubah menjadi kelat dan hambar.
     “Kalau aku pergi jauh nanti, siapa yang nak buat sarapan ayah. Kasihan ayah nanti sendirian. Lagipula mahukah ayah membenarkan aku pergi jauh walaupun hanya tiga hari ” getus Fadilah sendirian dalam hati.
     “Kamu ambil borang ni dan minta persetujuan penjaga kamu dulu. Oh ya, Damia dari kelas kamu turut mewakilinya juga”  Cikgu Safiya menghulurkan borang itu. Fadilah dan Rohayu kemudiannya meminta diri.
     “Wah gembiranya saya. Awak akan pergi ke Ipoh nanti. Tahniah sebab awak dapat mewakili sekolah kita ke  pertandingan pidato ke peringkat Zon Utara” kata Rohayu memberi sokongan  sebagai seorang rakan.Fadilah tersenyum sahaja sambil mereka bersama bergerak pulang ke rumah.
            Siapa tak kenal Fadilah, walau pun bicaranya kurang tetapi bila berpidato suaranya lantang dan menaikkan bulu roma. Lontar bicara serta lenggoknya yang memikat sering mendapat tepukan gemuruh penonton. Beberapa kali Fadilah mewakili sekolah SMK Bukit Padas dalam pertandingan pidato antara sekolah di daerahnya sejak di di Tingkatan satu lagi.
      Pada malam itu, Pak Samad menghirup secawan kopi di serambi rumah sambil membaca surat khabar. Fadilah yang ketika itu sedang mengulangkaji pelajaran melihat ke arah ayahnya.
     Kasihan ayah, walaupun ayah semakin dimamah usia, ayah masih tetap kuat bekerja.  Bisik hati kecil Fadilah sambil memerhatikan ayahnya yang tersengguk-sengguk menahan ngantuk dan akhirnya tertidur. Niat Fadilah ingin memberitahu tentang pertandingan itu tertunda. Borang yang dipegangnya tadi disisipkan  di beg sekolah kerana takut tercicir. Memandangkan esok hari Sabtu, Fadilah mengambil keputusan memberitahu ayahnya  esok pagi sahaja.  
         Goncangan kuat dibahu Fadilah, membuatkan dia serta merta  terjaga. Wajah tua Pak Samad berkopiah putih lusuh, ternyata ayah bersiap mahu menunaikan solat subuh.
     “Fadilah, bangunlah nak. Kita solat subuh bersama”kata Pak Samad sambil berjalan ke tandas untuk mengambil wudhu. Fadilah mengemaskan bantal dan selimut yang dipakainya tidur dan kemudian pergi mengambil wudhu. Selesai mengambil wudhu, Pak Samad mengimamkan solat mereka.
     “Assalamualaikum warahmatullah, Assalamualaikum warahmatullah” ucap Pak Samad sambil mengakhiri salam di kanan dan kiri. Selesai berdoa, Pak Samad bermunajat kepada Allah S.W.T kemudian berzikir sambil memegang seutas tasbih. Banyak kenangan pada tasbih itu. Arwah ibunya selalu melafazkan zikir. Kini ayah masih menggunakannya.
Selesai berdoa dan mengucup tangan ayahnya, Fadilah segera mencapai tasbih di atas sejadah itu.
     “Ini tasbih peninggalan arwah mak kamu. Kalau ayah rindu emak kamu, ayah akan ambil tasbih ini sambil berzikir. Tasbih ini dibuat dari kayu koka, hadiah dari arwah nenek Fadilah ketika menunaikan haji ke Mekahsemasa menggunakan kapal laut lagi”  jawab Pak Samad perlahan sambil tersenyum kearah anaknya yang seperti berminat ingin tahu cerita tasbih itu.
     Fadilah yang masih terlopong melihat tasbih itu tersedar selepas mendengar kokokan ayam jantan milik keluarga Mak Bedah, jiran mereka.
     Selepas menyiapkan sarapan di dapur, Fadilah pantas mengejutkan ayahnya yang tertidur kepenatan di anjung rumah. Entah kenapa ayahnya terlelap pula, barangkali kepenatan bekerja. Pak Samad bangun sambil memicit kepalanya.
     “Ayah, kenapa dengan ayah. Ayah sakitkah ?” tanya Fadilah cemas melihat reaksi ayahnya. Dia merasa takut meninggalkan ayahnya dalam keadaan begitu.
     “Kepala ayah ini sahaja yang buat hal. Berpusing-pusing. Kamu janganlah risau ayah tidak apa-apa”jawapan Pak Samad melegakan hati Fadilah. Kemudian Fadilah mengajak ayahnya bersarapan ubi kayu bersama ikan masin serta air kopi. Tiba-tiba semasa mencuit isi ikan masin, Fadilah teringatkan borang Pertandingan Pidato yang ingin diserahkan kepada ayahnya semalam. Lantas dia mengambil keputusan untuk menyerahkan borang itu selepas selesai makan.
     “Ayah, saya ada sesuatu ingin berbincang dengan  ayah” ujar Fadilah perlahan kepada ayahnya yang sedang mengurut kaki di anjung rumah itu. Dahi ayahnya berkerut.
     “Apa yang ingin kamu bincangkan. Lain sahaja bunyinya” tanya Pak Samad. Fadilah menyerahkan borang itu kepada ayahnya. Ayahnya membaca sambil memakai cermin mata yang dibeli sewaktu arwah isterinya hidup dahulu. Kemudian Pak Samad tersenyum.
     “Ipoh, jauhnya. Kamu mahu menyertainya” tanya Pak Samad sambil memalingkan mukanya kepada anaknya. Fadilah mengangguk. Dibenaknya sudah timbul penuh dugaan yang pasti terjadi.
     “Pergilah ambil pen, ayah tandatangan” ujar Pak Samad sambil meletakkan borang itu di lantai. Kemudian Fadilah merenung ayahnya tidak percaya.
     “Ayah benarkan saya menyertainya. Terima kasih ayah. Saya pergi ambil pen dahulu” kata Fadilah keriangan dan berlalu pergi mengambil pen di kotak pensel.
     Pak Samad geli hati melihat keletah anaknya. Dia ingin sekali melihat anaknya berjaya dalam bidang lain. Selepas ditandatangan, Fadilah meletakkan borang itu ke dalam beg. Dia tidak mahu borang itu tertinggal pula nanti.
     Perhimpunan pada pagi itu terpaksa dibatalkan kerana hari hujan. Fadilah mengambil keputusan untuk menghantar borang itu bersama Damia.
     “Damia, mari kita hantar borang pidato ini bersama” ajak Fadilah. Damia mengangguk sambil tersenyum manis ditambah dengan wajahnya yang cantik. Kata orang-orang tua sedap mata memandang.
     Pada petang itu selesai sekolah, Fadilah dan Damia menghabiskan masa  mereka dengan berlatih pidato. Pak Samad   hanya membiarkan Fadilah berlatih di rumah dengan suaranya yang  nyaring.
     Tiba pada hari berangkat ke Ipoh, Pak Samad menemankan Fadilah ke sekolah.
     “Ayah, tak bolehkah kalau ayah pergi sana”tanya Fadilah berasa sedih.
     “Jauh tu nak. Lagipun ayah kena kerja. Jangan lupa solat” pesan Pak Samad sambil memeluk anaknya itu. Cikgu Safiya senang melihat kemesraan yang terjalin erat antara hubungan seorang ayah dan anak itu.
     Fadilah terlalu mengantuk semasa duduk di dalam bas sekolah dan mengambil keputusan untuk rehat sebentar. Beberapa jam kemudian mereka sampai di salah sebuah sekolah di Ipoh. Mereka menginap di SMK Raja Perempuan, Ipoh. Mereka menginap bersama dengan pelajar dari sekolah lain yang turut sama mewakili daerah mereka.
     Sudah dua  hari menginap di situ , Fadilah merasa senang dengan Damia.  Mereka makan bersama kemudian berbincang sebelum pertandingan sebenar berlangsung.
     “Damia, saya rasa gementar pula menunggu hari pertandingan esok”  ujar Fadilah suatu malam. Fadilah tidur di tingkat bawah bersebelahan dengan katil Damia.
     “Saya jugalah. Macam tidak sangka besok hari pertandingan”ujar Sahriani, pelajar yang mewakili pidato dari sekolah SMK Kerteh.
     Pada pagi itu semua pelajar menampakkan muka bersemangat apabila masuk ke dalam bas sekolah dan pergi ke destinasi tempat pertandingan SMK Batu Kikir . Dalam hati Fadilah sarat berdoa agar ayahnya nanti akan mendoakannya.
    Pidato peringkat Zon Utara bermula. Undian dilakukan.  Dia tidak henti-henti berdoa sehingglah gilirannya berpidato. Dia memulakan pidatonya yang bertajuk “ Bahasa Melayu Bahasa Dunia” . Fadilah menghilangkan rasa gementarnya. Tiba-tiba matanya terpandang wajah Pak Samad. Benarkah ayahnya, yang duduk tidak jauh dari cikgu Safiya. Semangat Fadilah bertambah. Kemudian Fadilah melontarkan pidatonya dengan sempurna tanpa lupa dan gugup.
     “Sekarang saya akan mengumumkan nama pemenang pertandingan pidato”  kata-kata seorang pengacara wanita  membuatkan semua peserta gementar. Sampai masa mengumumkan pemenang pertandingan.
   “Pemenangnya ialah.......Fadilah binti Samad, mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan bukit Padas”  kata-kata pengacara itu membuatkan Fadilah tersenyum lebar dan Pak Samad bersyukur dengan meraup mukanya. Dia merasa bangga nama anaknya diumumkan dari corong pembesar suara.
Pemenang menerima  wang tunai sebanyak RM500 serta sijil penyertaan. Selesai di atas pentas,  Pak Samad mendapatkan Fadilah. menghulurkan sebuah kotak kayu yang diukir kemas  
     “Ini sajalah hadiah yang mampu ayah berikan.” ujar Pak Samad sambil menyeka air mata yang sudah bergenang di kelopak mata. Fadilah terharu apabila mendapati hadiah itu merupakan seutas tasbih bewarna coklat milik ayahnya.
     “Terima kasih ayah” itu sahaja perkataan yang mampu diucapkan Fadilah sebelum memeluk tubuh kurus ayahnya. Orang yang banyak memberikan dorongan sehingga Fadilah berjaya. Di kolejnya Fadilah sering juga mewakili Fakultinya dalam acara pidato atau pun perbahasan.
     “Fadilah, jangan tinggal solat, nak. Lepas ini ayah sudah.....tiada lagi. Dengar cakap pak su .....dan mak su ...kau” pesan Pak Samad tersekat-sekat.
     “Ayahlah yang jaga Fadilah lepas mak tiada, ayahlah yang dengar semua keluh kesah Fadilah, ayahlah yang tolong Fadilah menghafal pidato, ayahlah yang bangunkan Fadilah solat dan ayah jugalah pengganti ibu dalam hidupku. Ayahlah segala-galanya. Kalau ayah tiada apa yang jadi nanti?” getus Fadilah dilubuk hatinya. Fadilah mengangguk sambil menangis. Belakang Fadilah diusap lembut oleh mak sunya . Orang sekeliling masih membaca yassin. Selepas melafaz kalimah syahadah, Pak Samad menghembuskan nafasnya yang terakhir. Fadilah mencium dahi ayahnya dengan perasaan sebak.
     Fadilah memeluk erat bingkai gambar dan tasbih pemberian ayahnya itu sambil air matanya deras menitik ke bajunya. Tiba-tiba terdengar ketukan pintu dari pejabatnya.
     “Doktor Fadilah, ada pesakit yang datang untuk temu janji rawatan sekarang”ujar pekerja Fadilah. Fadilah cepat-cepat menyeka air matanya dan mengangguk perlahan. Jururawat yang memakai tanda nama, Salia itu tersenyum memandang Fadilah dan menutup pintu.
     “Ayah, mak , Fadilah dah capai impian Fadilah jadi doktor. Kalau mak dan ayah meraikan  kejayaan Fadilah tentu  mak dan ayah bangga walau pun Fadilah tak pernah sempat merawat sakit ayah dan ibu.”  Fadilah menatap sayu foto hitam putih ayah dan dirinya ketika berusia 4 tahun erat dalam dakapan ibu.

Thanx for reading ! Like if love the entry !

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...